4 com

"Aku benci bos!"


Pernahkah antara kita mengucapkan kalimah penuh berbisa seperti tajuk diatas? "Mestilah ada." Tentu ramai yang menjawab sedemikian. Pelbagai alasan diberi jika ditanya mengapa mereka membenci bos mereka.

Penulis sendiri, sebagai pekerja bawahan yang hanya makan gaji pernah mengalami beberapa siri krisis dengan pihak atasan. Dalam setiap krisis itu, jalan penyelesaian yang paling mudah penulis ambil ialah berhenti kerja. Bagi penulis, bos beerti seorang ketua yang tugasnya ialah menyelesaikan masalah bukannya pencetus masalah atau merumitkan lagi sesuatu masalah itu. Pekerjaan penulis silih berganti daripada restoran kepada bengkel kepada kilang dan akhirnya penulis kini bekerja dalam sektor jualan. Namun bos yang penulis dambakan masih tidak ditemui. "Susah sangat ke nak jadi bos yang bertoleransi, adil, memahami dan tak banyak songeh." Detik hati penulis. Banyak kali juga penulis membayangkan menjadi seorang bos dan cuba untuk menyelami permasalahan seorang bos. "Jadi bos baik pekerja pijak kepala, jadi bos tegas pekerja benci pula." Memang benarlah, sukar untuk menjadi bos. Namun penulis yakin dan percaya jika penulis seorang bos, penulis pasti menjadi seorang bos yang disegani dan dihormati.

Kebanyakkan bos beranggapan bahawa sukar untuk membuat semua orang berpuas hati dan bersetuju dengan pendapatnya. Jika dilihat pada sesebuah institusi keluarga, seorang bapa pasti pernah bertengkar dengan anak-anak ataupun isteri kerana perselisihan pendapat. Inikan pula seorang bos dengan pekerja yang langsung tiada ikatan darah. Tetapi jika pendapat seseorang bos itu bagus dan menguntungkan semua pihak kenapa pula ia sukar diterima? Jadi, seorang bos haruslah sentiasa memerah otak untuk memikirkan sesuatu yang dapat mewujudkan win-win situation sesuai dengan gaji yang anda terima dan status anda sebagai bos. Penyelesai masalah bukan pencetus masalah.

Sehingga kini penulis masih berhadapan dengan bos  yang hanya bos pada nama tidak pada gaya kerja. Kali ini lebih teruk daripada bos-bos yang sebelumnya, dia ibarat robot yang diprogram hanya untuk membebel dan memarahi pekerja. Langsung tidak boleh diharap untuk menyelesaikan masalah apatah lagi mencetus idea-idea hebat yang menguntungkan semua orang.  Barangkali penulis dianggap agak emosional ketika ini, tetapi ini adalah pendapat hampir 95% pekerja disitu. Penulis juga bersetuju dengan pendapat mereka. Apa yang boleh dibuat ialah sabar dan cuba untuk sentiasa berfikiran positif. Mungkin bos penulis mengalami tekanan di rumah, dan dia melepaskan tekanannya di tempat kerja. Dan mungkin dia sudah melakukan yang terbaik tapi ternyata ia bukan yang terbaik bagi kami. Kerana kita semua tidak sempurna, begitu juga tempat kerja. Tiada tempat kerja yang tiada langsung masalahnya.