Pembodek membodek yang dibodek.

Ada yang keliru dengan tajuk artikel ini? Dan mungkin juga ada gerun dengan situasi ini kerana pengalaman pernah terkena suatu masa dulu. Atau mungkin ada yang sedikit terasa kerana pernah ataupun masih mengamalkan aktiviti 'nakal' ini.

Bodek mengikut definisi kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud "; membodek memuji(-muji) atau menyanjung(-nyanjung) seseorang dgn tujuan utk mendapatkan sesuatu drpd orang yg dipuji atau disanjung; mengampu". Orang yang dipanggil pembodek ini sememangnya senang dicari dan ada dimana-mana sahaja. Dengan memiliki ciri-ciri peribadi seperti:

i)Suka memuji. Mereka suka memuji-muji walaupun kadangkala apa yang dipuji itu tidak masuk akal seperti, mereka memuji anda kelihatan kacak/cantik walhal seantero nusantara mengetahui hakikat yang anda adalah pemenang anugerah manusia paling jelik (kecantikan terletak pada akhlak yang tinggi sebenarnya). Pujian mereka sememangnya tidak ikhlas dan berkonsepkan serampang dua mata yang mempunyai agenda tersembunyi disebalik pujian itu.

ii)Pandai berlakon. Di depan bos merekalah pekerja yang paling rajin. Tetapi sebaliknya apabila bos tiada.

iii)Suka memberi hadiah. Bagi mereka kaki bodek kategori hardcore tidak kisah mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli hadiah kepada bos. Kebanyakkan hadiah yang diberikan berupa barangan berjenama tiruan yang dibeli di pasar malam. Hadiah yang melambangkan hati mereka, cantik di luar tetapi buruk di dalam.

iv)Sentiasa ingin mendampingi orang yang dibodek. Mereka berlagak seperti P.A kepada seorang bos. Di mana ada bos,di situ ada mereka. Padahal jawatan yang dipegang hanya sebagai kerani.

Apa yang positifnya tentang pembodek ini ialah mereka mampu menaikkan mood orang dengan puji-pujian mereka. Sesiapa pun akan 'terangkat' bila dipuji. Mereka juga boleh dimanupulasikan sesuka hati dengan membuat kerja-kerja di luar tugasan mereka. Itupun jika anda seorang yang berkepentingan bagi mereka. Jika anda seorang pembodek, sifat ini sebenarnya bagus untuk anda memantapkan lagi karier anda sekiranya bos anda itu tidak ubah seperti bola yang kempis hanya menantikan anda mengepam angin bodek ke dalamnya.

Yang negatifnya pula sifat bodek ini boleh mendatangkan bencana yang tidak diingini kepada si pembodek dan orang di sekelillingya. Pembodek berpotensi menutup periuk nasi pesaingnya dengan menghasut bos supaya memecat jawatan saingannya itu. Lebih malang lagi, jika pesaingnya itu seorang yang jujur dan mengamalkan saingan yang sihat. Syarikat telah kerugian seorang pekerja yang bagus dan memberi kesan buruk kepada syarikat untuk jangka masa panjang sekiranya pembodek tadi terus bermaharajalela. Pembodek juga mempunyai ramai musuh dan bakal menghadapi hukuman seperti dipulaukan rakan sekerja sekirannya aktiviti membodeknya dapat dihidu. Pembodek juga perlu berhati-hati kerana bukan semua bos suka dibodek dan merasa terganggu jika dibodek.

Kesimpulannya, pembodek ini umpama hidupan parasit yang tiada gunanya kepada masyarakat. Bahkan hanya akan menyusahkan sahaja. Amalkanlah bodek yang sihat seperti membodek bos dengan menambahkan kualiti kerja dan disiplin diri terhadap komitmen kerja.

5 comments:

IamYonna | 19 April 2010 2:38 PTG

benci betul lah pembodek ni. tak nampak pun positifnya. lainlah untuk kepentingan diri sendiri. tapi kalau banyak org tak suka buat apa? heee

Phazli | 20 April 2010 1:11 PG

kadang2 orang suke bile kene bodek.. bodek yang sikit2 je.. yang xmelampau sangat..

sebelas | 20 April 2010 6:24 PTG

benci betui pembodek :D

http://nomborsebelas.blogspot.com/

ierahaziera | 21 April 2010 9:19 PTG

office politics nih mmg terok...
siyesly i x suke....huhuhu

Phazli | 22 April 2010 3:57 PG

yelah.. ramai yang setuju dengan awak..

Catat Ulasan